Tazkirah
Ujian dari Allah, Kemenangan Juga dari-Nya
Hari ini hari ke-21 saya berada di sisi anak sulung saya, yang kini di ICU. Di hadapan saya, anak yang saya belai, didik, dan besarkan kini diuji dengan sesuatu yang tak pernah terfikir oleh seorang ayah.
Sedih, cemas, lelah, dan harap—semuanya bergumpal menjadi satu. Namun, di celah-celah semua itu, saya mencari Allah, mencari makna atas setiap yang berlaku.
Dalam mencari makna, saya mengenang sejarah umat. Ujian bukan sekadar menduga semangat insan, tetapi ia adalah lorong-lorong penyucian. Rasulullah ﷺ sendiri menempuh kehilangan dan penderitaan bertimpa-timpa, namun baginda tidak pernah goyah dengan takdir-Nya. Tatkala umat Islam di ambang kehancuran, Allah menciptakan jalan untuk kebangkitan.
Allah berfirman:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu beriman." (QS Ali 'Imran 3:139)
Allah juga mengingatkan kita bahawa setiap kesulitan ada kemudahannya:
"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan." (QS Al-Inshirah 94:5-6)
Dan sesungguhnya, Allah tidak menguji kita melainkan dengan sesuatu yang mampu kita hadapi:
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (QS Al-Baqarah 2:286)
Manusia sering menanggapi ujian sebagai beban, tetapi hakikatnya ia adalah anugerah dan tarbiah dari Tuhan. Setiap luka tersimpan hikmah. Setiap kejatuhan adalah anak tangga menuju kebangkitan. Setiap kepedihan adalah isyarat bahawa Allah sedang merencana sesuatu yang lebih besar.
Dalam detik paling gelap, saya mencari cahaya dengan menyelusuri sejarah Islam. Bagaimana umat Islam bangkit selepas Perang Salib? Bagaimana mereka tidak lenyap meskipun Mongol meluluhlantakkan kota-kota mereka? Bagaimana Allah menghadirkan pemimpin seperti Salahuddin al-Ayyubi—bukan dari kemewahan, tetapi ditempa oleh ujian dan penderitaan—hingga menjadi pembela maruah Islam?
Sejarah bukan sekadar lembaran masa silam—ia adalah bukti bahawa Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya.
InsyaAllah, nanti saya kongsikan kisah-kisah yang meneguhkan hati saya. Kisah yang bukan hanya peristiwa, tetapi refleksi tentang bagaimana Allah menetapkan kemenangan bagi mereka yang sabar dan teguh dalam ujian. Bagaimana di balik kesedihan dan kehilangan, Allah menghamparkan ruang untuk kebangkitan.
Saya menulis ini bukan kerana saya kuat, tetapi kerana saya mencari kekuatan—dengan bergantung kepada Yang Maha Kuat, mencari ihsan daripada Yang Maha Pengasih, dan memohon keampunan daripada Yang Maha Pengampun.
Jika sejarah telah membuktikan bahawa Allah tidak pernah membiarkan umat Islam selamanya dalam kepedihan, maka saya yakin—Allah juga tidak akan membiarkan kami tanpa Dia sediakan jalan keluar.
"... dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (QS At-Talaq 65:2-3)
Mohon doa sahabat-sahabat semua buat Fatin Zahidah, agar Allah kurniakan kesembuhan yang sempurna, serta kekuatan buat kami sekeluarga menghadapi ujian ini.