Tazkirah

Dugaan Kehilangan Insan Tersayang

2026-07-043 min read

Mohd Effandi tending to his daughter's grave during the family's weekly visit to the cemetery

Hari ini saya dan isteri meneruskan rutin mingguan kami menziarahi dan membersihkan pusara Kakak.

Selesai berdoa, saya berbual seketika dengan Pak Cik Shahdan. Pertemuan yang singkat itu meninggalkan renungan yang panjang.

Di tanah perkuburan ini, tiga orang anak beliau turut bersemadi berhampiran pusara Kakak.

Anak kedua beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2015. Kemudian, anak ketiga dan anak keempat pula dijemput Ilahi pada Januari dan Mei 2024. Di antara dua tarikh itulah Kakak juga menghembuskan nafas terakhir pada 21 Februari 2024.

Kini mereka menjadi jiran di alam yang kekal.

Ketika itu saya terdiam.

Saya hanya kehilangan seorang anak.

Ada insan yang diuji kehilangan dua anak. Dan ada yang diuji Allah untuk melepaskan tiga orang anak.

Barulah saya benar-benar memahami bahawa setiap kubur menyimpan cerita yang tidak mampu kita lihat dari permukaannya.

Selama ini saya merasakan kehilangan Kakak merupakan antara ujian paling berat yang pernah saya lalui. Namun apabila mendengar kisah Pak Cik Shahdan, saya segera menyedari bahawa di luar sana sentiasa ada insan yang sedang memikul beban yang jauh lebih besar daripada apa yang sedang saya tanggung.

Begitulah cara Allah mendidik hati manusia.

Kadangkala Allah tidak terus mengangkat kesedihan kita. Sebaliknya, Dia mempertemukan kita dengan kisah orang lain agar kita belajar melihat ujian daripada sudut yang lebih luas.

Bukan untuk mengecilkan luka yang kita alami, tetapi supaya lahir rasa syukur, sabar dan reda bahawa setiap hamba diuji dengan kadar yang berbeza.

Allah SWT telah pun mengingatkan hakikat ini dalam firman-Nya:

"Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."

(Surah al-Baqarah: 155)

Menariknya, Allah tidak berfirman "jika" ujian itu datang, tetapi Kami "akan" menguji kamu. Ujian bukan pengecualian dalam kehidupan seorang mukmin. Ia adalah sunnatullah yang pasti dilalui oleh setiap insan.

Namun, lebih indah daripada ujian itu sendiri ialah janji Allah kepada mereka yang bersabar.

Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman:

"Tiadalah ganjaran di sisi-Ku bagi seorang hamba-Ku yang beriman, apabila Aku mengambil orang yang dicintainya daripada kalangan ahli dunia lalu dia bersabar mengharapkan pahala, melainkan balasannya ialah syurga."

(Riwayat al-Bukhari, 6424)

Betapa besarnya ganjaran yang Allah sediakan. Kehilangan bukan sekadar kisah air mata, tetapi boleh menjadi jalan menuju syurga apabila disambut dengan iman dan kesabaran.

Lebih menyentuh hati lagi apabila Rasulullah SAW menceritakan bahawa apabila seorang anak meninggal dunia, Allah bertanya kepada para malaikat, "Adakah kamu telah mengambil buah hati hamba-Ku?" Setelah mereka menjawab, "Ya," Allah bertanya lagi, "Apakah yang diucapkan oleh hamba-Ku?" Mereka menjawab, "Dia memuji-Mu dan mengucapkan, 'Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.'" Lalu Allah berfirman:

"Binalah untuk hamba-Ku sebuah rumah di syurga dan namakanlah ia Baitul Hamd (Rumah Pujian)."

(Riwayat al-Tirmizi, 1021)

Subhanallah.

Dalam saat hati paling remuk, ketika seluruh dunia terasa gelap, Allah bukan sekadar mencatat air mata seorang mukmin. Bahkan Allah membina sebuah rumah khas di syurga sebagai balasan kepada hati yang tetap memuji-Nya ketika diuji.

Sebab itulah Rasulullah SAW mengajarkan satu doa yang sangat indah ketika ditimpa musibah:

اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

"Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah bagiku sesuatu yang lebih baik daripadanya."

(Riwayat Muslim, 918)

Doa ini bukan sekadar memohon agar kesedihan dihilangkan, tetapi memohon agar musibah yang menimpa menjadi sebab datangnya ganjaran yang lebih besar dan pengakhiran yang lebih baik di sisi Allah.

Mungkin itulah hakikat yang paling sukar untuk diterima tetapi paling menenangkan apabila benar-benar difahami.

Kita tidak memilih bentuk ujian yang Allah tetapkan untuk kita. Tetapi kita sentiasa diberi pilihan tentang bagaimana kita mahu menghadapinya.

Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat yang luas kepada Kakak, kepada Ayah yang dijemput Illahi Aidil Fitri yang lepas, kepada anak-anak Pak Cik Shahdan, dan kepada seluruh insan yang telah kembali mendahului kita.

Semoga Allah mengurniakan kesabaran kepada kita yang masih meneruskan kehidupan ini.

Semoga hati kita terus reda, lidah kita tidak putus memuji-Nya, dan semoga kita dipertemukan semula dengan insan yang kita cintai di syurga yang kekal abadi.

Amin.

Nota: Pak Cik Shahdan adalah lelaki tua beruban di belakang saya di gambar ini. Alhamdulillah Allah memberikan beliau kesihatan yang baik di usia 71 tahun. Doakan beliau dan keluarga diberikan kesabaran dan dirahmati Allah selalu.