Tazkirah
Lapan Dialog Dalaman Yang Mampu Mengubah Cara Kita Menjalani Hidup

Di hari Jumaat yang mulia ini, mari kita buat renungan sedikit berkenaan internal dialog / monolog diri yang perlu kita uruskan sebelum ia merosakkan diri.
Apa dialog dalaman kita ketika dihina, gagal, marah, kecewa atau berjaya akan menentukan siapa kita pada masa hadapan dan pengakhiran di akhirat.
Apa panduan agama yang dapat kita gunakan? Asasnya ialah satu keyakinan yang sangat besar: Allah ialah al-Kafi, Yang Maha Mencukupkan.
Apabila Allah sudah mencukupkan, kita tidak lagi perlu menghabiskan hidup mengejar pengiktirafan manusia.
Inilah antara dialog yang patut kita bina dalam diri.
1. Jika kita betul, jangan bazir masa membuktikan kita betul.
Tidak semua tuduhan perlu dijawab. Tidak semua salah faham perlu diperbetulkan. Kadang-kadang, jawapan terbaik ialah meneruskan kerja dengan tenang kerana Allah sudah mengetahui kebenarannya.
Allah berfirman: "Berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." (Al-A'raf: 199)
Bukan semua perdebatan perlu dimenangi. Ada perdebatan yang menang pun sebenarnya rugi.
2. Jika kita salah, jangan bazir masa mempertahankan kesalahan.
Ego tidak pernah memperbaiki manusia. Mengaku salah bukan menjatuhkan maruah, tetapi membuka pintu kepada perubahan. Orang yang sentiasa bermuhasabah akan sentiasa berkembang.
Malah para ulama mengajar supaya kita mencari kelemahan diri melalui guru, orang bijaksana, sahabat yang ikhlas, orang yang menyayangi kita, bahkan musuh sekali pun. Kerana kadang-kadang, musuh nampak apa yang kita sendiri tidak nampak.
3. Jika ada keperluan, jangan bazir masa terlalu berharap kepada manusia.
Berusaha bersama manusia itu perlu. Tetapi berharap sepenuhnya kepada manusia sering membawa kecewa.
Allah mengajar kita setiap hari dalam Surah al-Fatihah: "Hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan."
Rasulullah SAW juga berpesan: "Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah."
Usaha tetap dilakukan. Tetapi hati bergantung kepada Allah.
4. Jika diuji atau gagal, jangan bazir masa mengeluh.
Setiap orang pernah jatuh. Bezanya, ada yang terus duduk meratapi kegagalan. Ada pula yang bangun semula.
Wahyu pertama yang memerintahkan gerakan selepas kerasulan bukanlah "bersedih", tetapi: "Wahai orang yang berselimut, bangunlah!"
Bangun. Besarkan Allah. Perbaiki diri. Teruskan perjalanan.
5. Jika berjaya, jangan bazir masa meraikannya terlalu lama.
Kejayaan semalam tidak menjamin kejayaan esok. Ramai yang gagal bukan kerana kalah. Tetapi kerana terlalu lama menikmati kemenangan.
Allah mengingatkan dalam Surah al-Insyirah ayat 7: "Apabila engkau telah selesai daripada satu urusan, maka bersungguh-sungguhlah mengerjakan urusan yang lain."
Dalam hidup ini, sentiasa pandang ke hadapan untuk melakukan usaha yang seterusnya.
6. Jika marah, jangan bazir masa melayan kemarahan.
Marah yang tidak dikawal boleh membuatkan seseorang berkata atau bertindak sehingga menyesal seumur hidup.
Sebab itu Rasulullah SAW mengajar langkah yang sangat praktikal. Jika berdiri, duduklah. Jika duduk, berbaringlah. Jika masih marah, ambillah wuduk.
Kadang-kadang, kemenangan terbesar bukan apabila kita berjaya membalas. Tetapi apabila kita berjaya mengawal diri.
7. Jika bersedih kerana kata-kata manusia, jangan bazir masa memikirkannya terlalu lama.
Manusia sentiasa bercakap. Hari ini dipuji. Esok dikeji. Kalau hati bergantung kepada penilaian manusia, kita tidak akan pernah benar-benar tenang.
Allah memberi penawar yang jauh lebih besar: "Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang." (Ar-Ra'd: 28)
Healing yang sebenar bukan lari daripada kehidupan. Tetapi kembali kepada Allah.
8. Jika bersendirian, jangan bazir masa melayan fikiran negatif.
Fikiran yang kosong jarang kekal kosong. Jika tidak dipenuhi dengan perkara yang betul, ia mudah dipenuhi perkara yang sia-sia.
Rasulullah SAW bersabda bahawa antara tanda baiknya Islam seseorang ialah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.
Para ulama juga mengingatkan: jika jiwa tidak disibukkan dengan kebenaran, ia akan disibukkan dengan kebatilan. Sebab itu, sibukkan diri dengan ilmu, al-Quran, amal, keluarga dan perkara yang memberi manfaat.
Kerana akhirnya, hidup ini bukan tentang apa yang berlaku kepada kita. Tetapi bagaimana kita bercakap kepada diri ketika dunia bergerak di sekeliling kita.
Mungkin inilah dialog dalaman yang perlu kita ulang setiap hari:
"Aku tidak perlu membuktikan diriku kepada manusia. Aku hanya perlu terus memperbaiki diriku di hadapan Allah."
Apabila dialog dalaman berubah, cara kita melihat dunia juga akan berubah. Dan mungkin, di situlah bermulanya ketenangan yang selama ini kita cari.
Ingat hari ni hari Jumaat, luangkan masa membaca Surah Al-Kahfi, paling kurang 10 ayat pertama.
Rujukan: Ceramah Ustaz Amin.