Tazkirah

Siri 2: Islam Akan Kembali Gemilang

2025-02-094 min read

Salah satu cabaran terbesar umat Islam hari ini ialah perasaan putus asa — melihat keadaan dunia yang penuh fitnah, kezaliman, dan kemunduran umat, ramai yang bertanya, "Kenapa kita tidak di zaman kegemilangan Islam, ketika umat ini dihormati dan berkuasa?"

Namun, bagi mereka yang memahami sejarah dan janji Allah, mereka akan sedar bahawa kita sedang berada dalam fasa kebangkitan semula, bukan kehancuran.

Sejarah Islam Bergerak Secara Berfasa

Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah ﷺ bersabda tentang perjalanan umat ini:

  1. Zaman Kenabian — di mana Rasulullah ﷺ memimpin umat dengan wahyu dari Allah.
  2. Zaman Khilafah yang Mengikut Sunnah Kenabian — pemerintahan Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali r.a.
  3. Zaman Kerajaan Beraja (Mulkan) — bermula dengan Bani Umayyah, Abbasiyah, dan Uthmaniyyah, di mana Islam masih memimpin tetapi dengan sedikit penyimpangan dari prinsip asal.
  4. Zaman Pemerintahan Zalim — zaman di mana umat Islam ditindas oleh diktator dan pemimpin yang korup. Ini adalah zaman kita sekarang.
  5. Khilafah akan kembali mengikut cara kenabian — Rasulullah ﷺ berhenti bercakap selepas menyebut ini, seolah-olah memberi isyarat bahawa inilah fasa terakhir sebelum peristiwa akhir zaman.

Jadi, jika kita sedang hidup dalam zaman pemerintahan zalim, maka fasa seterusnya yang akan datang ialah kembalinya pemerintahan yang mengikut cara Kenabian Rasulullah ﷺ.

Jangan Mengeluh Tentang Zaman Kita!

Ramai di antara kita yang kecewa dengan keadaan umat Islam hari ini, dan berkata: "Kalau kita hidup di zaman para sahabat, tentu lebih mudah nak jadi Muslim yang baik," atau "Zaman sekarang terlalu banyak kezaliman dan kejahatan, macam mana Islam nak menang?"

Tetapi, adakah kita benar-benar pasti kita akan lebih baik jika hidup di zaman lain?

Ada satu kisah yang menarik yang berlaku di zaman sahabat dan tabi'in. Seorang tabi'in pernah berkata kepada seorang sahabat, "Jika Rasulullah ﷺ ada di zaman kami, kami akan dukung baginda di atas bahu kami!" Namun, sahabat itu menjawab, "Kamu tidak tahu apa yang akan kamu lakukan jika hidup di zaman kami. Kami terpaksa berperang menentang ayah, saudara, dan keluarga sendiri demi Islam. Jangan fikir zaman kami lebih mudah!"

Zaman Kita Lebih Dekat dengan Zaman Sahabat

Jika difikirkan semula, zaman kita hari ini lebih hampir kepada zaman awal Islam berbanding zaman keemasan di bawah pemerintahan Islam yang stabil. Mengapa?

  • Ketika para sahabat bermula, Islam tidak memiliki sebarang kuasa politik. Hari ini, umat Islam juga berpecah dan tidak memiliki satu kepimpinan yang menyatukan mereka.
  • Musuh Islam di zaman Rasulullah ﷺ bersatu menentang Islam. Hari ini, dunia Barat dan sekutunya bersatu untuk mengganggu dan menekan Islam.
  • Para sahabat hidup dalam masyarakat yang penuh dengan jahiliyyah dan kezaliman. Hari ini, nilai jahiliyyah juga semakin berleluasa dalam masyarakat moden.

Apa yang berlaku hari ini bukan tanda kelemahan Islam, tetapi tanda kita semakin hampir kepada kebangkitan dan kemenangan yang dijanjikan!

Mengapa Kita Patut Bersyukur dengan Zaman Ini?

Rasulullah ﷺ menyebut bahawa akan datang satu generasi di akhir zaman yang akan mendapat pahala 50 kali ganda berbanding para sahabat kerana kesabaran mereka dalam berpegang kepada Islam di tengah-tengah fitnah dan cabaran.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, ditanya kepada Rasulullah ﷺ: "Ya Rasulullah, adakah pahala 50 lelaki itu daripada kalangan kami (yakni dari kalangan sahabat) atau dari kalangan mereka (yakni selepas daripada sahabat)?" Rasulullah ﷺ menjawab: "Bahkan, pahala 50 di kalangan kamu."

Kenapa pahala mereka lebih besar? Kerana mereka berjuang dalam keadaan yang lebih sukar. Hari ini, berpegang kepada Islam terasa seperti menggenggam bara api. Kita diserang dari sudut ideologi, pendidikan, politik, ekonomi, budaya, media & teknologi. Namun, inilah peluang yang Allah berikan kepada generasi sekarang untuk direbut dan dimanfaatkan! Jika kita mampu bertahan dan berjuang, ganjarannya lebih besar daripada generasi terdahulu.

Apa Peranan Kita?

Jika kemenangan Islam semakin hampir, apa yang boleh kita lakukan?

  • Kuatkan jatidiri dengan terus beramal dengan amal Islami — sejarah telah membuktikan bahawa setiap fasa kejatuhan umat diikuti dengan kebangkitan.
  • Persiapkan diri — umat Islam yang bakal memimpin dunia bukan umat yang lemah. Kita perlu kuat dari segi ilmu, iman, dan berstrategi.
  • Jadilah sebahagian daripada yang menyumbang kepada kemenangan Islam ini — jangan hanya mengeluh tentang keadaan dunia.

Hari ini, ramai yang sibuk menunggu kemenangan Islam. Tetapi apakah kita sedang mempersiapkan diri untuk menyambutnya? Kerana kemenangan tidak akan turun dari langit, ia perlu ditegakkan oleh tangan-tangan yang beriman (Al-Amin) dan kuat / kompeten (Al-Qawiy).

(Gambar penyerta tulisan asal diambil pada musim Haji 2022, merakam kawasan Saqifah Bani Saadah — saksi detik bersejarah perbincangan dan pelantikan khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah ﷺ.)