Tazkirah
Ramadan Siri 02: Mula dan Kekalkan Momentum Ibadah Ramadan Dengan Bersistem
Ramadan adalah madrasah yang Allah sediakan untuk membentuk insan bertakwa (Surah Al-Baqarah, 2:183).
Takwa merangkumi aspek spiritual dan akhlak, di mana disiplin puasa, kawalan diri, serta peningkatan amal soleh menjadi asas kebiasaan (habits) yang boleh diteruskan sepanjang hayat.
Namun, perubahan yang kekal tidak bergantung pada semangat semata-mata. Kita perlukan sistem yang mampu menyokong dan mendorong langkah kita ke arah kebaikan.
Mulakan Dengan Allah
Setiap usaha bermula dengan izin dan pertolongan Allah SWT. Sebelum merancang, sebelum melangkah, pastikan kita bermohon kepada-Nya agar diberikan kekuatan dan istiqamah dalam mengejar kebaikan.
"...Barang siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan mencukupinya..." (QS At-Talaq 65:3)
Letakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah. Akui kelemahan diri dan pohon agar Ramadan ini benar-benar menjadi bulan transformasi dengan izin-Nya. Apabila doa dan usaha seiring, insyaAllah kejayaan akan menyusul.
Berikut adalah lima langkah utama untuk membina sistem Ramadan yang lebih konsisten dan berkesan:
1. Bentuk Identiti, Bukan Sekadar Azam
Sebelum menetapkan matlamat, tanya diri sendiri: siapa aku mahu jadi selepas Ramadan ini?
Ramai orang menetapkan azam seperti "aku nak khatam al-Quran" atau "aku nak bangun tahajjud setiap malam." Tetapi kita lebih mudah mengekalkan perubahan apabila ia sejajar dengan identiti diri: "aku seorang Muslim yang mencintai al-Quran," "aku seorang hamba yang menghidupkan malam dengan tahajjud."
Apabila ibadah menjadi sebahagian daripada siapa kita, ia bukan lagi sekadar amalan bermusim, tetapi kebiasaan yang berterusan. Jika kita melihat diri sebagai "hamba Allah yang mencintai al-Quran," membaca al-Quran bukan lagi sesuatu yang dipaksa—tetapi menjadi keperluan semula jadi yang selari dengan identiti kita.
2. Mulakan Kecil, Kekalkan Konsistensi
Kesilapan biasa yang menyebabkan perubahan gagal bertahan adalah mencuba terlalu banyak dalam masa yang singkat. Mulakan dengan langkah kecil tetapi konsisten. Jika belum terbiasa membaca al-Quran, mulakan dengan satu muka surat selepas solat. Jika solat tahajjud bukan kebiasaan, cuba bangun sekali seminggu dahulu. Jika belum biasa bersedekah, mulakan dengan RM1 sehari sebelum meningkat.
Perubahan kecil yang berterusan lebih berkesan daripada perubahan drastik yang cepat pudar.
3. Bina Persekitaran yang Menyokong Ibadah
Persekitaran memainkan peranan besar dalam membentuk tabiat kita. Pastikan suasana sekeliling memudahkan perubahan: letakkan al-Quran di tempat yang mudah dicapai, jauhi telefon sebelum tidur supaya lebih mudah bangun tahajjud, tetapkan standing instruction atau transaksi berjadual untuk infaq harian.
Apabila persekitaran selari dengan tindakan yang kita mahu lakukan, perubahan lebih mudah berlaku.
4. Cari Rakan Ibadah untuk Akauntabiliti
Kita lebih mudah untuk kekal dalam satu amalan jika ada seseorang yang menyokong kita. Ajak ahli keluarga atau sahabat yang berkongsi matlamat Ramadan. Berbincang tentang ibadah yang telah dilakukan dan cabaran yang dihadapi. Saling bertanya untuk saling menyokong dan memberi semangat.
Sebagaimana para sahabat Nabi ﷺ saling menguatkan dalam perjuangan, begitu juga kita dalam perjalanan meningkatkan diri di bulan Ramadan.
5. Fokus pada Proses, Bukan Sekadar Hasil
Ramai menetapkan matlamat seperti "aku mesti khatam al-Quran Ramadan ini" atau "aku mesti solat tahajjud setiap malam." Tetapi apabila terlepas satu hari atau gagal mencapai sasaran tertentu, mereka mula hilang semangat dan berhenti terus.
Sebaliknya, tukarkan fokus kepada menikmati proses ibadah: "aku akan membaca al-Quran dengan tadabbur setiap hari," "aku akan solat tahajjud walau hanya dua rakaat sebelum sahur." Fokus pada proses bermakna kita menilai usaha harian berbanding hanya mencapai matlamat besar—ini membantu kita kekal konsisten dan tidak mudah hilang semangat.
Kesimpulan
Ramadan yang berkesan bermula dengan sistem yang menyokong perubahan.
- Bentuk identiti — jadikan ibadah sebagai sebahagian daripada siapa kita.
- Mulakan kecil & konsisten — perubahan kecil lebih mudah dikekalkan.
- Bina persekitaran yang menyokong — pastikan suasana sekeliling membantu ibadah.
- Cari sahabat ibadah — persekitaran sosial yang baik meningkatkan akauntabiliti.
- Fokus pada proses — nikmati perjalanan menuju perubahan, bukan hanya hasil.
Ramadan bukan sekadar satu bulan menahan lapar, ia adalah madrasah yang melatih kita untuk menjadi hamba yang lebih taat, lebih berdisiplin, dan lebih dekat dengan Allah SWT.
Ya Allah, jadikan Ramadan kali ini sebagai langkah pertama menuju perubahan yang berkekalan.
Penulisan ini adalah bagi mengingati anakanda saya, Fatin Zahidah, yang telah pergi meninggalkan kita pada 21 Februari 2025 yang lepas. Disiplin yang dibina bagi merancang kebaikan dan ibadah beliau boleh kita contohi bagi menjadikan Ramadan ini Ramadan yang terbaik kita. Semoga pahala amalan kita ini mengalir untuk almarhumah juga. Al-Fatihah.