Tazkirah
Ramadan, Didiklah Daku
Ramadan bakal menjelang hanya dalam beberapa hari lagi. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, apatah lagi sibuk dengan biskut dan baju raya. Ia adalah madrasah jiwa—mendidik hati, menyuburkan iman, dan membentuk kehidupan.
Sepanjang tempoh 29 atau 30 hari yang penuh keberkatan ini, seorang Muslim boleh melakukan transformasi luar biasa, jika dia benar-benar memanfaatkannya.
Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
"Sesiapa yang melakukan amalan sunat di dalamnya (Ramadan), sama seperti pahalanya melakukan amalan fardu di bulan lain. Sesiapa yang melakukan amalan fardu (di bulan Ramadan), pahalanya seperti menunaikan 70 amalan fardu di bulan lain." (HR Ibn Khuzaimah, 1887)
Bayangkan, setiap rakaat solat, setiap helaian al-Quran yang dibaca, setiap doa yang dilantunkan, bahkan setiap senyuman yang diberikan—semuanya berlipat ganda nilainya. Belum lagi dikira limpahan rahmat yang tidak terhitung dengan formula matematik biasa.
Ramadan adalah hamparan rahmat Allah bagi hamba-Nya yang bersungguh-sungguh ingin meraih redha-Nya.
Ramadan dan Kuasa Perubahan
Ramadan bermaksud "panas yang terik." Menurut ilmu kimia dan fizik, haba yang tinggi boleh mencetuskan transformasi fasa hatta dalam logam yang keras.
Begitu juga Ramadan. Ia hadir untuk mencairkan kekerasan hati, membentuk kembali jiwa yang beku akibat kelalaian, maksiat & dosa.
Allah SWT berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa." (QS Al-Baqarah 2:183)
Taqwa adalah natijah utama daripada madrasah Ramadan. Ia ibarat kompas yang membimbing kita ke arah ketaatan dan perisai yang melindungi daripada kemurkaan-Nya—bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga menjauhi dosa, maksiat, lisan yang melukai, hati yang dipenuhi hasad, serta fikiran yang sia-sia.
Di sinilah letaknya rahmat Ramadan. Ia membuktikan bahawa perubahan itu suatu matlamat yang realistik.
Jika kita mampu mengawal diri sebulan, mengapa tidak untuk bulan-bulan seterusnya? Jika solat malam terasa ringan, jika lidah terbiasa dengan zikrullah, jika hati lebih lembut dengan al-Quran, maka madrasah Ramadan telah berjaya mendidik kita.
Madrasah Ramadan: Rancang, Sedia, Amalkan
"If you fail to plan, you plan to fail."
Ramadan perlu disambut dengan persiapan. Para sahabat menyambutnya dengan enam bulan persediaan dan enam bulan lagi mengekalkan kesannya. Bagaimana kita boleh melakukan perkara yang sama?
1. Perancangan
Tetapkan matlamat Ramadan. Berapa kali ingin khatam al-Quran? Apakah akhlak yang mahu diperbaiki?
2. Persediaan
Siapkan mental dan fizikal. Berpuasa sunat, kurangkan tabiat buruk, biasakan solat berjemaah.
3. Pelaksanaan
Jangan tunggu Ramadan untuk berubah. Latihan perlu dimulakan sekarang. Nabi ﷺ sendiri banyak berpuasa di bulan Syaaban, sebagai latihan sebelum gelanggang utama.
"Rasulullah tidak pernah berpuasa dalam satu bulan lebih banyak daripada puasa Baginda di bulan Syaaban." (HR al-Nasaai)
Semakin awal persiapan dilakukan, semakin lancar perjalanan Ramadan kita.
Matlamat Ramadan: Apa yang Perlu Difokuskan?
Solat
- Jaga solat fardu – sempurna dalam rukun dan kekhusyukan.
- Hidupkan solat sunat – Rawatib, Duha, Witr, terutama Tahajjud.
- Solat berjemaah – terutamanya Maghrib, Isyak, dan Subuh.
Al-Quran
- Bacalah satu juzuk sehari untuk khatam dalam sebulan.
- Fahami maknanya – baca terjemahan dan tafsir.
- Hafal ayat pilihan, walau satu ayat sehari.
Ibadah Hati
- Perbanyakkan doa, terutama sebelum berbuka dan di sepertiga malam.
- Jaga zikir pagi dan petang.
- Latih hati untuk sentiasa terhubung dengan Allah.
Sedekah & Infak
Beri makan kepada orang berpuasa – "Sesiapa yang memberi makan orang berbuka, dia mendapat pahala seperti orang itu berpuasa." (HR Tirmizi, 807). Tunaikan zakat fitrah lebih awal. Infaq kepada anak yatim, masjid, madrasah, dan kaum kerabat.
Menjaga Akhlak
Ramadan bukan sekadar menahan lapar, tetapi juga menahan marah, menjaga kata-kata, dan menjauhi ghibah (mengumpat). Berusaha menjadi insan lebih lembut hati, pemaaf, dan penyabar.
Ramadan: Titik Mula, Bukan Titik Akhir
Jika kita benar-benar terdidik oleh Ramadan, semangat beribadah tidak hanya menyala selama satu bulan, tetapi menjadi permulaan perubahan berpanjangan.
Jangan biarkan Ramadan berlalu tanpa kesan. Fikirkan: apakah satu amalan yang ingin kita kekalkan selepas Ramadan?
Ramadan adalah hadiah, satu fasa penyucian untuk kembali kepada fitrah. Allah SWT mahu kita menjadi lebih baik, lebih taat, dan lebih dekat dengan-Nya.
Soalnya, sediakah kita untuk dididik?
Semoga Ramadan kali ini bukan sekadar satu lagi bulan yang berlalu, tetapi titik perubahan yang mendidik jiwa dan meninggalkan kesan abadi.
Ramadan, didiklah daku.