Tazkirah

Qadar & Redha: Rahsia di Balik Ujian

2025-02-253 min read

Takdir Bukan Kebetulan

Setiap kegembiraan atau kesedihan bukan sekadar kebetulan, tetapi susunan Ilahi yang spesifik—bespoke untuk hamba-Nya yang tepat.

"Tiada suatu musibah pun yang menimpa melainkan dengan izin Allah..." (QS 64:11)

Dengan memahami hakikat ini, seorang mukmin tidak lagi melihat ujian sebagai kebetulan atau nasib malang, sebaliknya sebagai ketetapan Ilahi yang disusun oleh Al-Muqtadir, Yang Maha Menentukan dengan kekuasaan mutlak dan ketelitian yang sempurna.

Bantuan-Bantuan Semasa Ujian

Sesuai dengan sifat-Nya Ar-Rahman, Dia hanya menguji pada tahap kemampuan hamba-Nya (QS 2:286). Dia juga mengurniakan kemudahan-kemudahan untuk membantu hamba-Nya menempuh cubaan (QS 94:5-6). Selain itu, salah satu hadiah terbesar yang Allah berikan kepada hamba-Nya yang tetap beriman di saat kesulitan adalah petunjuk hati.

Allah berfirman: "Tidak ada kesusahan yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya..." (QS 64:11)

Pimpinan Allah bukan sekadar pemahaman akal, tetapi suatu rasa dalam hati yang menenangkan dan menuntun langkah ke arah yang diredhai.

Kehilangan vs Pinjaman

Ujian kehilangan—ibu yang kehilangan anak, ayah yang kehilangan mata pencarian, atau insan yang ditinggalkan orang tersayang—semuanya perlu dilihat dengan perspektif yang benar.

Hakikatnya, segala yang kita miliki di dunia ini hanyalah pinjaman, bukan hak mutlak kita. Ibarat diberi pinjam RM100, siapa kita mahu meratap, kecewa mahupun marah apabila sampai masa memulangkannya? Duit seratus itu bukan kita punya, syukurlah sebelum ini dipinjamkan kepada kita.

Kita hanya meminjam sementara, dan apabila Allah mengambil kembali sesuatu, itu bukanlah suatu kezaliman, tetapi satu yang lumrah dalam adat meminjam—kita sebenarnya tidak punya apa-apa.

"Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali." (QS 2:156)

Ujian Mengukuh Iman

Diberi nikmat, ujian. Ditarik nikmat, juga ujian. Sebahagian ujian datang bukan sebagai hukuman, tetapi sebagai peluang untuk mengukur & meningkatkan iman.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan 'Kami telah beriman', sedangkan mereka belum diuji?" (QS 29:2)

Orang yang benar-benar beriman melihat setiap ujian sebagai peluang untuk merebut ganjaran dan memperbaiki hubungan dengan Tuhan. Andai kita gagal memahami hakikat ini, kehilangan akan menyebabkan kita berkeluh kesah, kecewa dan putus asa.

Dari Keluhan Kepada Kesyukuran

Sering kali, manusia bertanya, "Mengapa aku diuji?" sedangkan soalan yang lebih tepat ialah, "Bagaimana ujian ini boleh mendekatkan diri dengan Allah?"

Nabi Nuh AS mengajarkan bahawa istighfar adalah kunci untuk membuka jalan keluar dari kesempitan, meluaskan rezeki, dan mencapai ketenangan.

"Mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan lebat ke atas kamu, dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu serta menyediakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu." (QS 71:10-12)

Jelas, istighfar bukan sekadar menghapus dosa, tetapi juga ikhtiar untuk menyelesaikan masalah serta mengundang limpahan rezeki. Mungkin masalah & kesempitan yang kita alami berpunca daripada kurangnya istighfar dan jauhnya kita daripada-Nya.

Reda dengan Ujian

Dunia ini penuh cabaran, dan setiap insan akan diuji dalam pelbagai bentuk kesusahan. Namun, mereka yang menerima ketentuan dengan reda akan dianugerahkan ketenangan, bebas dari perasaan kecewa & gelisah yang melemaskan. Di akhirat pula, reda itulah yang akan mengundang rahmat Allah dan mengangkat darjat hamba di sisi-Nya.

Hanya dengan memahami bahawa kita adalah milik Allah, bahawa segala yang kita alami adalah dengan izin-Nya, dan bahawa setiap ujian adalah peluang untuk mendapat petunjuk Ilahi, barulah kita dapat menghadapi kehidupan ini dengan tenang & tabah.

Semoga Ramadan ini mendidik kita untuk melihat kehidupan dengan mata hati. Segala yang kita miliki hanyalah pinjaman, dan setiap kehilangan hanyalah memulangkan kembali kepada Pemiliknya yang sejati.

"Sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali." (QS 2:156)

Terima kasih kepada Hisham Mustaffa atas perkongsian video yang menjadi asas kepada adaptasi tulisan ini.