Tazkirah

Menulis: Urai Rasa, Rawat Luka

2025-02-273 min read

Kadang-kadang, ada peristiwa yang menghentikan kita sejenak, memisahkan kita dari kesibukan dunia yang tak henti berputar. Pemergian Fatin Zahidah adalah salah satunya.

Sejak awal dia sakit, saya menulis. Saya menulis tentang sirah umat Islam—tentang perjuangan Rasulullah ﷺ, keteguhan para sahabat. Saya berharap tulisan itu menjadi asbab Allah memberikan kesembuhan kepadanya. Tetapi lebih dari itu, saya menulis untuk meredakan ribut dalam jiwa saya, mencari arah dalam hari-hari yang menduga.

Dan kini, selepas pemergiannya, saya masih menulis. Menulis untuk mencari kesembuhan. Menulis dengan harapan setiap huruf yang dititipkan mengalir sebagai pahala untuknya.

Menulis: Berteduh di Bawah Patah-Patah Kata

Saya menulis kerana kehilangan ini terlalu berat untuk saya. Ada kesedihan yang tidak mampu diterjemahkan dengan lisan, tetapi mengalir melalui aksara.

Dalam Islam, kita diajar untuk mengungkapkan perasaan dengan cara yang baik. Rasulullah ﷺ sendiri menangis ketika kehilangan anaknya, Ibrahim, dan baginda berkata:

"Sesungguhnya hati ini bersedih, dan mata ini menangis, tetapi kami tidak akan mengatakan sesuatu yang mengundang kemurkaan Allah. Sesungguhnya kami bersedih atas perpisahan ini, wahai Ibrahim." (HR Bukhari)

Kesedihan bukan sesuatu yang perlu dinafikan. Menulis memberi ruang untuk mencari makna, merasainya dan perlahan-lahan mendakapnya. Ia bukan melawan takdir, tetapi berdamai dengannya.

Menulis: Dari Kabur Kepada Kejelasan Makna

Kadang-kadang, kita tidak benar-benar memahami apa yang kita tempuhi sehingga kita menuliskannya. Kata-kata menjadi jendela untuk menyusun perasaan yang berselerak, memberi bentuk kepada fikiran yang samar.

Allah mengajarkan manusia dengan pena:

"Yang mengajar manusia dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (QS Al-'Alaq 96:4-5)

Al-Quran menjelaskan bahawa pena bukan sekadar alat menulis, tetapi wahana ilmu dan pencerahan. Ia membimbing kita untuk melihat lebih dalam—merenung diri, memahami kehidupan, dan menyelami hikmah takdir yang Allah aturkan.

Saya menulis kerana saya percaya kejelasan bukan datang sebelum menulis, tetapi melalui menulis. Berkali-kali saya duduk dengan fikiran berselirat, tetapi saat aksara membentuk kata dan frasa, perlahan-lahan segalanya menjadi lebih jelas.

Menulis: Membentuk Sikap Menuju Reda

Bagi saya, menulis bukan sekadar ekspresi diri. Ia adalah cara membentuk cara pandang dan sikap yang betul dalam menghadapi kehidupan. Rasulullah ﷺ mengajar kita bagaimana seorang mukmin seharusnya menyikapi setiap keadaan:

"Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin! Sesungguhnya segala urusannya adalah kebaikan. Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar, maka itu baik baginya." (HR Muslim)

Namun, untuk menzahirkan sikap syukur dan sabar, kita perlu melalui proses memahami, merenung makna, dan menyandarkannya kepada tauhid. Tanpa pemahaman ini, syukur hanya sekadar lafaz, dan sabar terasa sekadar menahan diri.

Menulis membuka ruang untuk proses ini—membina ketahanan emosi, merungkai makna di sebalik ujian, dan akhirnya, menemukan ketenangan dalam setiap takdir yang Allah aturkan.

Menulis: Mengharap Pahala

Salah satu sebab saya terus menulis adalah kerana kesedaran bahawa ilmu yang dikongsi boleh menjadi amal jariah. Setiap manfaat yang mungkin hadir daripada tulisan ini, saya niatkan sebagai hadiah buat Fatin.

"Barangsiapa menunjukkan kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya." (HR Muslim)

Menulis membolehkan kita mengubah cara pandang dan mengawal naratif sesuatu kejadian. Saya mungkin tidak mampu mengubah hakikat kehilangan, tetapi saya boleh menentukan bagaimana ia diceritakan—sama ada sebagai perpisahan yang menyakitkan atau sebagai introspeksi yang membawa kekuatan.

Menulis: Melepaskan Bukan Melupakan

Fatin mungkin sudah tiada, tetapi namanya masih hidup—dalam doa, dalam ingatan, dalam setiap baris yang saya tulis.

Saya menulis bukan untuk berpaut pada kesedihan, tetapi untuk belajar melepaskan—dengan cara yang paling lunak dan penuh makna. Kerana di akhirnya, pena yang kita gerakkan hari ini mungkin akan menjadi saksi di hadapan Allah suatu hari nanti.

Doakan semoga Allah merahmati Fatin Zahidah & mengampuninya serta mengurniakannya syurga tanpa hisab.