Tazkirah

Apa Selepas Ramadan?

2020-05-232 min read

Profesor Dr. Syaraf Qudah, pensyarah dalam bidang hadith di Universiti of Jordan, dalam laman sosial Facebooknya bertajuk ماذا بعد رمضان — "apa selepas Ramadan?" — menyebut 12 poin yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim untuk berjaya di dalam menghadapi ujian di dunia ini. Kita perlu berada pada tahap kita semasa dalam bulan Ramadan. Antaranya:

  1. Kita bertaubat kepada Allah SWT dan telah biasa meninggalkan perkara-perkara yang haram, maka kita perlu menjaga taubat kita selepas Ramadan. Tuhan kepada bulan Ramadan adalah Tuhan kepada bulan-bulan yang lain, sesungguhnya Allah SWT Maha Hidup dan tidak lalai.

  2. Kita menjaga dan menunaikan kewajipan-kewajipan pada bulan Ramadan, maka selepas Ramadan kita juga perlu menunaikan kewajipan tersebut.

  3. Keikhlasan kita bertambah pada bulan Ramadan melalui ibadat puasa yang tidak dapat dilihat oleh seseorang, kerana ibadat puasa bukanlah ibadat yang dapat dilihat seperti solat. Puasa merupakan ibadat di mana seseorang meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa yang hanya diketahui antara seorang hamba dengan penciptanya. Maka bersama-sama kita menjaga keikhlasan ini selepas Ramadan.

  4. Kita berpuasa pada setiap hari bulan Ramadan, maka kita teruskan puasa tersebut selepas Ramadan dengan puasa 6 hari dari bulan Syawal, sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ: sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti puasa 6 hari di bulan Syawal, mendapat pahala seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. Begitu juga dengan berpuasa pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 dari bulan Islam) serta puasa sunat Isnin dan Khamis.

  5. Kita biasa solat berjemaah pada bulan Ramadan, maka kita teruskannya selepas Ramadan.

  6. Kita menjaga qiamullail (seperti solat tarawih) pada bulan Ramadan, maka jagalah ia walau dengan solat 2 rakaat tahajjud setiap malam.

  7. Kita memperbanyakkan membaca Al-Quran pada bulan Ramadan, maka jangan kita berpisah dengan Al-Quran pada bulan selain Ramadan — bacalah sejuzuk Al-Quran setiap hari.

  8. Kita memperbanyakkan doa pada bulan Ramadan, maka hendaklah kita sentiasa bergantung dan berharap kepada Allah SWT pada hari-hari lain dalam setahun.

  9. Kita bersedekah kepada fakir miskin pada bulan Ramadan, maka kita teruskan amalan ini pada bulan-bulan selepas Ramadan.

  10. Kita biasa menjalinkan silaturahim pada bulan Ramadan, maka kita teruskan menjalinkan silaturahim selepas Ramadan.

  11. Kita biasa dengan kelas-kelas pengajian pada bulan Ramadan, maka kita teruskan menuntut ilmu selepas Ramadan. Jadikan sepanjang tahun belajar dan mengajar, kerana ilmu diperolehi dengan belajar.

  12. Kita dilatih bersabar pada bulan Ramadan, bukan sahaja bersabar atas lapar dan dahaga, bahkan dari perkara yang menyakitkan kita, seperti sabda Nabi ﷺ: "Apabila berpaginya seorang dari kamu dalam keadaan berpuasa, maka janganlah dia berkata kesat dan berlaku jahil. Sekiranya ada seorang yang mengutuknya atau menyerangnya, maka hendaklah dia berkata: sesungguhnya saya berpuasa."

Semoga Allah SWT menerima segala amalan kita dan Allah membantu kita semua melakukan ketaatan sepanjang tahun.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, bantulah kami untuk melakukan ketaatan kepada-Mu. Ya Allah, kembalikan kepada kami Ramadan bertahun-tahun akan datang. Ya Allah, keluarkan kami dari bulan Ramadan sebagai hamba-Mu yang bertaqwa.